Taman Rimba Kiara tidak disentuh - Berita asal
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, sebelum ini terdapat individu berminat terhadap hartanah tersebut dan berpakat bersama pembangkang kononnya menjadi juara atas perkara yang tidak benar.
Malah menurutnya, tindakan individu terbabit dan pembangkang itu hanya mahu memburukkan nama kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana tanah tersebut bukan diwartakan sebagai taman awam seperti yang dinyatakan kerana ia dibeli oleh Yayasan Wilayah Persekutuan dengan harga RM60 juta.
“Sebagai orang bertanggungjawab terhadap perkara itu, saya tetap menyatakan bahawa pembangunan yang dilaksanakan tidak melibatkan Taman Rimba Kiara, malah saya mengarahkan pemaju membina tapak letak kenderaan untuk kegunaan orang ramai di taman tersebut.
“Saya gembira apabila mahkamah menolak permohonan mereka mengenai perkara ini. Jangan salahkan saya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) jika mereka terpaksa menanggung sebarang kerugian dan kos terpaksa dibayar mengenai isu ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Taman Rimba Kiara berkeluasan 5.32 hektar tidak termasuk kawasan pembangunan yang dirancangkan iaitu melibatkan 4.8 hektar kawasan Taman Awam Berskala Besar yang terpisah melalui Jabatan Landskap Negara pada 3 April 2013.
Tengku Adnan berkata, pembangunan di kawasan tersebut adalah bagi menyelesaikan masalah pekerja ladang yang tinggal di rumah panjang lebih 30 tahun.
“Mereka merupakan pekerja di ladang sekitar sebelum tanah ladang itu dijadikan pembangunan bandar baharu ketika pembukaan Taman Tun Dr. Ismail,” katanya.
Menurutnya, mereka yang tinggal di rumah panjang itu akan diberikan sebuah pangsapuri seluas 850 kaki persegi manakala bagi generasi kedua pula akan mendapatkan rumah tersebut dengan harga RM175,000.
Katanya, pemaju juga tidak menggunakan Jalan Wan Kadir 1 dan Jalan Datuk Sulaiman, sebaliknya akan menggunakan Jalan Damansara untuk ke kawasan pembangunan.
Namun katanya, bagi penduduk pangsapuri mampu milik dan ke kuil sahaja akan menggunakan jalan sedia ada.
“Isu penempatan semula rumah panjang tersebut telah lama dijanjikan.
“Sebagai menteri bertanggungjawab, saya mengambil peranan untuk menyelesaikan masalah ini dan diharap orang ramai menyokong usaha mendirikan rumah yang baik kepada masyarakat,” katanya.
Sumber : Utusan Online
Amirul Afiq Mastor
20 Disember 2017
Nota kaki : Mengikut dakwaan Tengku Adnan, beliau hanya membantu menyelesaikan masalah dan menunaikan janji seorang pemimpin pada 30 tahun yang lalu. Siapa pemimpin yang berjanji itu? Mungkin Perdana Menteri ketika itu ada maklumat terperinci.
Comments