top of page
  • Writer's pictureSelamanya UMNO

Kerjasama Pas-UMNO: Mahathir mengaku pakatan tiada harapan, PAN tiada nilai

KESILAPAN TUN MAHATHIR



Ada orang berpandangan bahawa apabila Tun Mahathir mendedahkan berkenaan "perjanjian rahsia" antara beliau dan TGHH berkaitan PRK Semenyih, maka UMNO akan tewas. Moral jentera UMNO dan PAS akan merudum. Saya tidak fikir begitu. Malahan sebenarnya tindakan Tun Mahathir ini boleh menjadi kesilapan terbesarnya sejak kembali aktif semula di dalam politik.


Pertama, ia menunjukkan kebimbangan luar biasa TM terhadap kekuatan pakatan UMNO-PAS dan masalah survival PPBM sendiri untuk memposisikan diri mereka sebagai parti Melayu. Ia sepatutnya menjadi 'moral boost' kepada Pas dan Umno untuk meneruskan kerjasama sama ada secara rasmi atau tidak selepas ini.


Kedua, ia merosakkan hubungan di dalam Pakatan Harapan. Pada tahun 2008, Pas pernah mengadakan perbincangan dengan Umno tetapi ia berlaku sebelum pembentukan Pakatan Rakyat (tiada ikatan rasmi). Perbincangan ini dikecam sebahagian pemimpin PAS (kini berada di dalam Amanah) dan DAP sendiri kerana kononnya membelakangkan parti pembangkang lain. Apabila TM cuba membuat pakatan politik melalui pintu belakang dengan PAS dalam keadaan PPBM masih mempunyai ikatan rasmi dengan PH, maka sudah tentulah ia akan menyebabkan parti2 komponen lain menjadi curiga. Kecurigaan dan kehilangan kepercayaan adalah resipi awal kegagalan dalam perhubungan.


Ketiga, ia membuktikan kerendahan nilai parti Amanah. Apabila TM mahukan TGHH berhenti menyokong Umno, ia menunjukkan Amanah tidak mampu menjadi sekutu yang menguntungkan. Jika Amanah mempunyai potensi mendapatkan undi masyarakat Islam, TM tidak perlu bersusah payah mahukan ikatan Pas dan Umno terputus.


Keempat, ia menunjukkan nilai PAS. Apabila seorang Perdana Menteri mencapai tahap 'desperate' untuk bekerjasama dengan sebuah parti pembangkang, ia membuktikan kekuatan dan pengaruh sebenar PAS. Ia membayangkan bahawa parti ini sedang berada dalam fasa 'king maker' yang akan menentukan survival parti parti di dalam kerajaan. Tidak perlu tunggu pilihanraya.


Kelima, UMNO tidak akan tumbang. UMNO adalah 'abang besar' kepada semua parti2 berteraskan Melayu Islam. Akar umbi UMNO adalah yang paling ramai mencecah 3.6 juta orang. Hampir 4 kali ganda berbanding PAS, 5 kali ganda berbanding PKR dan 10 kali ganda berbanding DAP. Berbeza dengan zaman Reformasi 1998, gerakan keluar Umno tidak terlalu menonjol kecuali pada peringkat pemimpin atasan. Ia membuktikan bahawa jika perlu, Umno boleh berdiri dan bangkit semula bersendirian. Jika anda mengatakan Umno akan lemah apabila berdepan dengan perang saraf seperti yang TM buat semalam, anda sebenarnya belum kenal semangat melawan orang Melayu.


Keenam, PAS mempunyai kepakaran untuk bergerak secara bawah tanah. Naluri ini adalah antara sebab PAS masih mampu untuk hidup walaupun ditekan dengan pelbagai isu terutama di zaman PM ke 4 (Memali, Ops Lalang, Al Maunah to name a few). Sekiranya TGHH tidak hadir berkempen di PRK Semenyih kali ini, pasukan PAS masih akan bergerak walaupun bukan atas nama parti. PAS hidup selama ini bukan dengan jentera rasmi tetapi segalanya atas wakaf dan sedekah ahli. Dan ia tiada masalah untuk bergerak bebas tanpa arahan daripada kepimpinan tertinggi.


Ketujuh, perjanjian itu jika ada sekalipun hanyalah melibatkan PRK Semenyih (berdasarkan laporan). Di seluruh negara hari ini, majoriti sayap sayap kawasan PAS dan bahagian UMNO sedang berusaha menjalinkan hubungan sesama sendiri. Hubungan ini walaupun masih tidak rasmi, tetapi akan membentuk 'ad hoc coalition' sepertimana yang berlaku antara PAS dan DAP pada tahun 2008. Dan persaudaraan ini akan menyebabkan gerakan dan kempen PAS membantu BN di Semenyih tidak akan terlalu terjejas dengan kenyataan Perdana Menteri.


Tindakan TGHH terus berdiam diri walaupun jika perjanjian itu tidak wujud sebenarnya baik. Ia akan terus menunjukkan sisi terdesak TM, menambah kecurigaan dalam PH dan merosakkan kerjasama antara parti kerajaan.


Mendedahkan perjanjian ini (sekiranya ada) boleh menjadi kesilapan terbesar TM dalam politik baru Malaysia hari ini.


Abdul Rahim Hilmi Zakariya

Bukit Tunggal Kuala Terengganu

7,255 views0 comments
Post: Blog2_Post
bottom of page