1MDB : Najib fail dua permohonan gugur Sri Ram
9 Januari 2019
Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan dua permohonan untuk mencabar pelantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes rasuah dan pengubahan wang membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi bekas perdana menteri itu.
Najib melalui peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas dan satu lagi permohonan di Mahkamah Tinggi Jenayah untuk menggugurkan pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan.
Muhammad Shafee memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah hari ini bahawa pihak pembelaan mengemukakan permohonan tambahan untuk kebenaran semakan kehakiman itu bagi menyokong permohonan notis usul untuk menggugurkan pelantikan Sri Ram.
Muhammad Shafee berkata dalam permohonan semakan kehakiman itu, pihaknya memohon beberapa perintah untuk membatalkan beberapa keputusan membabitkan pelantikan Sri Ram.
“Beberapa perintah yang kami pohon lebih sesuai difailkan melalui permohonan semakan,” katanya yang turut memaklumkan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu akan didengar esok di Mahkamah Tinggi Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas di hadapan Hakim Datuk Azizah Nawawi.
Di awal prosiding, Muhammad Shafee memaklumkan kepada mahkamah bahawa hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes bagi pihaknya mengemas kini status berhubung notis usul yang difailkan bagi menggugurkan Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan.
Peguam itu berkata pihak pendakwaan akan menjawab notis usul itu dan pihaknya juga akan memfailkan balasan terhadap jawapan berkenaan.
“Kami membayangkan bahawa tarikh yang sesuai untuk mendengar permohonan ini adalah selepas semua persediaan dan proses menjawab dokumen selesai,” katanya.
Hakim Collin kemudiannya menetapkan 31 Jan untuk pengurusan kes selanjutnya dan 8 Feb ditetapkan untuk mendengar permohonan pembelaan bagi menggugurkan Sri Ram daripada pasukan pendakwaan. Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mewakili pihak pendakwaan.
- BERNAMA
[BERKAITAN/TERBARU]
10 Januari 2019
Oleh Ahmad Johari Mohd Ali
Pejabat Peguam Negara hari ini mengemukakan bantahan terhadap permohonan Datuk Seri Najib Razak dan peguamnya untuk mencabar pelantikan Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pendakwaan dalam kes jenayah dihadapi mereka.
Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu pemberita, Pejabat Peguam Negara mengemukakan bantahan itu dengan alasan, permohonan dikemukakan beliau dan Najib di Mahkamah Tinggi Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas (RKK), mempunyai persamaan dengan satu lagi permohonan difailkan mereka menerusi notis usul di Mahkamah Tinggi Jenayah.
“Mereka dengan itu membantah permohonan kami untuk mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman ini dengan alasan terdapat permohonan yang bertindih,” katanya.
Muhammad Shafee berkata, beliau dan Najib memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman secara berasingan, bagaimanapun sebahagian alasan dikemukakan mereka adalah sama.
Peguam itu berkata, antara alasan dikemukakan ialah, Sri Ram yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan tidak boleh dilantik mengetuai pasukan pendakwaan ketika beliau masih bertindak sebagai peguam biasa.
“Ia berbeza dengan pelantikan peguam Datuk Sulaiman Abdullah (yang dilantik bagi kes jenayah terhadap Najib) dan pelantikan saya sebagai timbalan pendakwa raya ketika mengendalikan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Sementara itu, peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee berkata, pihaknya memberikan alasan, jika Sri Ram terus mengetuai pendakwaan, anak guamnya dinafikan untuk mendapatkan perbicaraan yang adil seperti dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan mewakili Pejabat Peguam Negara sementara itu memberitahu pemberita, pihaknya mengemukakan bantahan terhadap permohonan Najib dan Muhammad Shafee kerana permohonan sama sudah difailkan di Mahkamah Tinggi Jenayah.
Prosiding hari ini didengar di kamar Hakim Datuk Azizah Nawawi.
Muhammad Shafee berkata, Azizah kemudian menetapkan 29 Januari ini untuk mendengar permohonan kebenaran itu.
Dalam permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman itu, Najib dan Muhammad Shafee memohon perisytiharan untuk membatalkan keputusan Peguam Negara/Pendakwa Raya yang tidak mengemukakan surat pelantikan Sri Ram mengikut Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah.
Mereka turut memohon untuk membatalkan atau menolak pelantikan Sri Ram berikutan surat pelantikan tidak sah dan memohon perisytiharan bahawa terdapat konflik kepentingan berhubung pelantikan itu.
Turut dipohon, perintah untuk melarang Sri Ram daripada terus mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes jenayah dihadapi Najib membabitkan 1Malaysia Development Berhad dan kes mengemukakan pernyataan tidak benar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri serta pengubahan wang haram dihadapi Muhammad Shafee.
Comments