top of page
  • Writer's pictureSelamanya UMNO

Polis ‘tangkap’ bekas Ahli Parlimen kerana persoal jaket ’mewah’ anak Lim Guan Eng

January 11, 2019 9:31 PM



PETALING JAYA: Bekas ahli Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng hari ini disoal polis mengenai kiriman Facebook yang mempersoalkan jaket “mewah” yang dipakai anak Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa penerbangan ke Australia baru-baru ini.


Mengikut akhbar Kwong Wah Yit Poh, bekas ahli Parlimen PKR itu diarah menyerahkan telefon bimbit selepas kenyataan diambil di Balai Polis Tanjung Tokong, Pulau Pinang antara 10 pagi dan tengah hari.


Catatan Facebook itu respons Tan mengenai gambar dikirim seorang warga internet yang memuji Lim dan keluarga kerana duduk di kelas ekonomi dalam penerbangan ke Australia.


Tan nampak anak Lim, Clint, memakai jaket yang didakwa Givenchy GBP 887 yang bernilai RM4,700 dan mempersoalkan kemampuannya memiliki jaket tersebut.


Tan, 46, mendakwa, pegawai penyiasat enggan menunjukkan kepadanya kenyataan yang diambil seperti yang dibenarkan bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.


Katanya, beliau diberitahu pegawai penyiasat bahawa pengadu “dari Putrajaya” dan aduan berkaitan catatan Facebooknya mengenai anak Lim.

Menurut laporan akhbar itu, Tan mendakwa laporan terhadapnya tidak patut kerana beliau bukan menghina atau memalukan anak Lim.


Tan, Ahli Parlimen antara 2008 dan 2013, sebelum ini ditemui oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 20 Disember lalu, yang didakwa respon kepada kiriman Facebooknya mengenai anak Lim.


SKMM bagaimanapun mendakwa mereka ke rumah Tan berkaitan telefon tanpa kord tidak patuh syarat yang mengakibatkan gangguan di kawasan perumahannya.


Tan keluar PKR pada 2010 untuk menjadi ahli Parlimen bebas. Beliau bertanding dalam pilihan raya umum ke 14 menggunakan simbol kunci. Beliau mendapat 331 undi.


Calon PKR Mansor Othman menang dalam pertandingan itu dengan majoriti 15,817 undi.


Sumber : FMT

3,476 views0 comments
Post: Blog2_Post
bottom of page